MENCARI TENANG DALAM JIWA✅

Zaman sekarang nie manusia semua tercari-cari cara berkesan untuk mencapai ketenangan jiwa dan hidup. Maka mereka menyertai pelbagai program latihan motivasi dan kursus pembinaan diri untuk mencari ketenangan.

Sebenarnya Allah telah menunjukkan cara terbaik mencapai ketenangan iaitu dengan mengingati Allah atau zikrullah. Allah berfirman:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenanglah hati manusia. (Surah 13 Al-Ra’d: 28)

Sheikh Al-Sa’di menyebut hati yang tenang bermaksud hilang kebimbangan dan kegusaran. Kemudian digantikan dengan kegembiraan dan ketenangan dalam jiwa.

Beliau menjelaskan jiwa akan tenang dengan zikrullah kerana tiada benda yang paling menyenangkan bagi jiwa melainkan hadirnya perasaan kasih kepada Pencipta iaitu Allah. Semakin kita hampir dengan-Nya maka semakin tenang jiwa. Lafaz zikrullah ini ialah dengan menyebut Alhamdulillah, Subhanallah, Allahu Akbar dan sebagainya.

Namun mengapa apabila kita menyebut lafaz zikir ini dan jiwa kita masih tidak berasa tenang? Ini disebabkan kita hanya menyebut lafaz zikir tanpa memahami dan merenungnya dengan mendalam. Lafaz disebut hanya pada mulut dan bukan di dalam hati.

Lafaz Subhanallah bermaksud Maha Suci Allah. Lafaz ini bermaksud Allah suci dan bersih daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan. Allah sama sekali tidak sama dengan makhluk dan Allah mempunyai segala sifat kesempurnaan.

Lafaz Alhamdulillah bermaksud Segala Puji Bagi Allah. Kita memuji Allah atas segala nikmat yang Allah berikan kepada sekalian hamba-Nya yang tidak terkira banyaknya. Lafaz Alhamdulilah adalah tanda kita bersyukur kepada Allah.

Lafaz Allahu Akbar bermaksud Allah Yang Maha Besar. Ia merujuk kepada Allah yang Maha Agong. Di dunia ini ada bermacam manusia yang tinggi dan hebat kedudukannya. Tetapi Allah lebih agung dan hebat daripada mereka.

Zikir Subhanallah, Alhamdullillah dan Allahu Akbar melalui mulut dan hati akan menimbulkan rasa kehambaan, hidup bertuhan, bersyukur atas nikmat Allah, berpada dengan apa yang ada, redha atas aturan Allah, berasa dekat kepada Allah dan sebagainya.

Ketika itu akan hadir ketenangan dalam jiwa. Berzikirlah kepada Allah dengan sebaiknya nescaya jiwa akan tenang.

Ikuti kisah ini :

2 Cara baiki hidup-mengikut cara yang Allah nak

Jom hadam Mencintai kerana Allah ini.